k
Setiap insan ada dosa, salah, silap, leka dan alpa. Itu biasa. Yang Allah tak suka, insan yang tidak segera kembali kepada-Nya. Tidak memohon kekuatan dari-Nya saat lemah ditawan nafsu serakah.
Dosa yang segera dicabut dengan taubat ibarat mencabut biji benih yang baru bertunas. Mudah dan tangkas. Dosa yang ‘disayangi’, dibiarkan lama-lama ibarat membiarkan biji benih itu terus tumbuh kuat mengakar dan mencengkam dengan teguh dalam kerajaan diri kita. Usia makin meningkat, mencabutnya makin tidak larat.
Tetap Berdoa!
Berdoa tapi masih ‘suka’ pada maksiat, macam mana doa akan makbul? Buat maksiat, selepas itu berdoa minta macam-macam, tapi tiada usaha keras bertaubat, bagaimana doa itu akan makbul?
Anda rasa macam mana? Kalau ada orang asyik sepak anda, selepas itu minta emas seketul dari anda, agak-agak anda bagi atau tidak kepadanya?
Usah bebankan diri bertanya, bila permintaan kita akan makbul. ‘Berdoa’ selalu moga kita termasuk orang yang menyembah-Nya dan diberi kekuatan meninggalkan larangan-Nya. Tetap berdoa!
Allah ﷻ berfirman,
سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي
“Dan Tuhanmu berfirman, ‘Berdoalah kepadaKu, nescaya akanKu perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.”(Surah al-Mukmin: 60).
Kenapa orang yang terjebak bertahun-tahun dalam lembah maksiat dan tidak kuat untuk meninggalkannya, tidak berdoa? Kenapa dia tidak berdoa kepada Allah ﷻ sekarang juga agar Allah membantunya meninggalkan lembah nista tersebut? Mengapakah tidak berdoa kepadaNya untuk membantu? Kenapa?
Hidayah Allah ﷻ memang muncul sekehendak Ilahi. Tapi, kita sebagai hamba perlu sentiasa mencari! Bagaimana hendak cari? Mulakan dengan doa! Istighfar! Taubat Nasuha!
Ada penagih ‘arak’ dan ‘dadah’ yang menyelesaikan ‘ketagihannya’ bermula dengan doa. Di samping usaha. Dia terus berdoa bersungguh-sungguh dengan penuh penghayatan. Matanya menangis hiba. Kemudian atas izin Allah ﷻ, atas kesungguhannya berdoa, Allah ﷻ pun memalingkan hatinya dari kemaksiatan. Sehingga dia menjadi seolah-olah sama sekali tidak pernah menyukai arak. Maha suci Allah ﷻ . Dengan sekelip mata, Dia mampu membalikkan dari satu keadaan ke keadaan yang lain. Bagaimanakah ini boleh terjadi?
Percayalah kepada Allah ﷻ, percayalah bahawa doa kita akan dimakbulkan. Allah ﷻ berfirman:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
“Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan bagimu.”
Ini tip berkesan. Ubahlah hidup dengan doa. Hajatkan ia sepenuh hati. Ikhlaskan diri. Kelak kita kan temui ketenangan yang hakiki.
Cara Menangi Pandangan Allah.
Berdoa kepada Allah ﷻ adalah perintahNya. Jika tidak diperintah, kita bagaikan anak kecil yang tidak tahu apa-apa bagaimana mahu memenangi redha-Nya?
Semasa kecil, kita mungkin pernah asyik pecahkan pasu bunga tembikar mak kita. Sampai mak tidak larat hendak marah. Kita mana tahu, dengan menjaga pasu bunga mak elok-elok baru mak sayang. Kita perlu diajar caranya.
Lupakan isu tu. Berbalik kepada doa itu perintah Allah ﷻ. Allah ﷻ juga menerangkan elok-elok caranya kepada kita.
Firman Allah ﷻ,
ادْعُواْ رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
“Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan dengan suara yang lembut.”(Surah al-Araf: 55).
Ayat ini pun menyebutkan ibadah doa dalam bentuk perintah. Tapi kenapa perlu, ‘Dengan suara yang lembut?.’ Supaya ada tumpuan dan keikhlasan yang lebih dalam. Seperti doa Nabi Zakaria,
إِذْ نَادَى رَبَّهُ نِدَاءً خَفِيًّا
“Iaitu tatkala ia berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut.”(Surah Maryam: 3)
Allah Menyuruh Berdoa
Ini merupakan satu definisi ibadah doa, iaitu kita diperintahkan untuk berdoa kepada Allah ﷻ? Doa ni, Allah suruh. Allah perintah! Jika tidak buat suruhan Allah, siaplah.
Kita berdoa bukan sahaja apabila ada keperluan tapi kerana mahu melaksanakan perintah-Nya. Maka, mana boleh bermalas-malasan dengan sebuah perintah Raja? Saat diperintah, kita tahu siapa kita. Kita cuma hamba. Kita perlu ikut apa yang Allah ﷻ suruh.
Kita berdoa sebab kita tahu memang kita perlukan Allah ﷻ sentiasa. Sabda Rasulullahﷺ,
الدُّعاءُ هو العبادةُ
“Doa itu ialah ibadah”. (Riwayat Abu Daud no. 1479 dan Al-Tirmizi no. 3372. Sahih di sisi sunan Abi Daud dan sunan Tirmizi).
Cuba bayangkan maksud ini dan renungkan sejenak. Rasulullah ﷺ menggambarkan ibadah sebagai doa. Kata ‘ibadah’ berasal dari ‘ubudiyyah’ yang akarnya adalah ‘abdun’ (hamba). Ciri-ciri seorang hamba ialah fakir, miskin, lemah, hina dan memerlukan ketuanya.
Jadi sifat terpenting seorang hamba ialah kerendahan dan kemiskinan. Satu-satunya ibadah yang jelas menunjukkan kerendahan dan kemiskinan ialah doa. Kerana itu, doa merupakan ibadah itu sendiri. Allah!
Sikap kita yang malas berdoa rupa-rupanya tanda kita belum merasa cukup hina di mata-Nya. Ini sikap sombong. Astargfirullah.
Saat kita sering tidak merasakan kerendahan diri ketika melaksanakan solat, tidak juga ketika membayar zakat ataupun mengerjakan puasa, ini semua kerana kelemahan pemahaman. Lambat sedar. Luar hidup tapi dalamnya ‘kering’. Hati masih perbesarkan ‘dunia’ saat melaksanakan ibadah tersebut.
Bagaimana pula saat kita mengangkat tangan kepada Allah ﷻ dalam berdoa? Adakah kita merasakan kerendahan dan kemiskinan serta penuh keperluan kepada-Nya?
Allah ﷻ sahaja yang tahu! Betapa indahnya saat Allah ﷻ merezekikan ketenangan dengan rasa yang tidak dapat digambarkan. Ia selalu dinikmati oleh orang yang ‘menangis’ saat berdoa. Tidakkah kita cemburu? Tidakkah kita juga ingin rasa begitu?
Kalau ‘rasa’ itu mampu dibeli dengan nilai RM1 juta, mungkin ramai orang akan cuba usahakan. Tapi, tiada ‘nilai’ material mampu membelinya. Hanya doa dan usaha keras akan mampu ‘membayar’ harganya.
Bila agaknya tangan kita bergetar ‘mahu’ segera diangkat ke atas dan menangisi kegelapan selama ini?
Siapakah Si Sombong di Mata Allah?
Semoga kita takut kalau Allah pandang kita sombong. Orang yang tidak berdoa adalah mereka yang sombong. Allah ﷻ tidak suka orang sombong!
Allah berfirman,
سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي
“Dan Tuhanmu berfirman, ‘Berdoalah kepadaKu nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.’”(Surah Al-Mukmin: 60).
Ayat ini menegaskan bahawa, ‘Doa ialah ibadah.’
Gerunnya apabila Allah ﷻ menamakan orang-orang yang enggan berdoa sebagai, ‘Orang-orang yang menyombongkan diri.’
Allahu! Wajarkah menyombongkan diri kepada Yang Maha Memberikan segala-galanya untuk kita? Orang yang melalui hari demi hari, minggu demi minggu, dan bulan demi bulan tanpa pernah menadah tangannya ke langit untuk berdoa kepada Rabbnya, betul-betul orang yang sombong.
Paling takut bila diri kita termasuk dalam golongan tersebut. Nau’zubulillah minzalik!
sumber:fatimahsyarha
ads1
loading...
0 Response to "MANUSIA YANG SOMBONG DI MATA ALLAH? NAK KA KITA JADI SOMBONG DI MATA ALLAH.. JOM BACA SIAPA GOLONGAN MANUSIA SOMBONG DI MATA ALLAH?"
Post a Comment