Suami Tanggung Dosa Isteri Tidak Tutup Aurat?



k

Gambar Hiasan
Soalan:
Dalam sebuah kuliah yang saya hadir baru-baru ini, penceramah menyatakan bahawa suami menanggung semua dosa dan kesalahan isteri dan anak-anaknya. Saya agak terperanjat dengan kenyataan ini dan ia mula memberi keraguan kepada saya yang akan mula bergelar suami pada hujung tahun nanti. Benarkah apa yang dinyatakan oleh penceramah itu? Mohon penjelasannya.
Jawapan:
Di antara perkara dasar dalam Islam ialah setiap orang menanggung pahala atau dosa berdasarkan usahanya yang tersendiri. Jika dia berbuat amal soleh, maka dia mendapat pahala untuk dirinya. Jika dia berbuat maksiat, maka dia mendapat dosa untuk dirinya. Allah berfirman:
Sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain, sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada Hari Kiamat kelak). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna; sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu-lah kesudahan (segala perkara). [al-Najm 53:38-42]
Oleh itu dalam sebuah keluarga, apabila isteri sengaja enggan menutup aurat maka dia sahajalah yang akan menanggung dosa mendedahkan aurat. Apabila isteri bergossip berkenaan orang lain, maka dia sahajalah yang akan menganggung perkataan-perkataan yang disebut atau ditaip olehnya. Dosa isteri tidak berpindah kepada suami atau ayah.
Pun begitu, ada satu kewajipan suami yang jika dia tidak melaksanakannya, dia akan mendosa keranannya. Ia adalah kewajipan mendidik, menasihati dan menegur ahli keluarga agar mereka mentaati perintah dan larangan syari’at Islam. Ini berdasarkan firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. [al-Tahrim 66:06]
Kembali kepada contoh di atas, apabila suami tidak mendidik isteri untuk menutup aurat, maka suami mendapat dosa kerana tidak mendidik sementara isteri mendapat dosa kerana tidak menutup aurat. Sebaliknya jika suami telah mendidik isteri untuk menutup aurat namun isteri tetap enggan, maka suami tidak mendapat sebarang dosa sementara isteri mendapat dosa kerana enggan menutup aurat.
Satu perkara sampingan yang tidak kurang pentingnya ialah hendaklah kita berani bertanya – dengan penuh hikmah – kepada para penceramah apakah dalil al-Qur’an dan hadis di sebalik sesuatu pendapat agama yang mereka sampaikan.
Ingat, bahawa kewajipan kita ialah mengikuti al-Qur’an dan hadis, bukan para penceramah. Para penceramah berperanan sebagai penyampai al-Qur’an serta hadis dan di antara mereka ada yang menyampaikan kebenaran dan ada yang terkeliru.


ads1




loading...

0 Response to "Suami Tanggung Dosa Isteri Tidak Tutup Aurat?"

Post a Comment